Senyumlah selapangnya.
Bismillah, Allah mengizinkan nama
ARNI SHUHADA BINTI SUKRIDIN
menjadi milik diri.
"Perjalananku jua dirimu pasti berakhir menuju Pencipta,
Andai kata syurga itu layak ku jejaki, ingin ku menapak ke sana bersama-sama dirimu saudara islamku semua."

Monday 20 October 2014

Musafir di bumi Thailand



TRAVELOG KEMBARA QURBAN KE SELATAN THAILAND BERSAMA GPTD DAN PPIK 2014
Penulis:  Arni Shuhada binti Sukridin

Pendahuluan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Syukur buat-Mu duhai Pemilik segalanya.  Dengan izin-Mu sebuah ibrah ini terlakar.  Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat baginda.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada permaisuri hati iaitu ibunda saya, Rohani binti Yusoff kerana membenar, mendoa dan merestui perjalanan saya menjejak kaki ke bumi Thailand.  Walaupun berat hatinya, beliau tetap merelakan.  Senandung kasih buat ayahanda saya di ‘sana’, ayahanda jualah penyemarak obor mujahidah dalam diri saya.  Moga rohmu dipayungi rahmat-Nya.  Juga terima kasih tidak terhingga kepada abang, kakak dan adik-adik yang menyokong ‘pemergian’ ini dan sahabat-sahabat dari Universiti Teknologi MARA yang juga memberi sepenuh dorongan. 

Alhamdulillah.

Saya rakamkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) Universiti Selangor dan pihak Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) kerana memberi peluang untuk saya menyertai Kembara Qurban ke Selatan Thailand 2014 kali ini.  Harapan serta dorongan saya agar pihak GPTD dan PPIK akan meneruskan lagi program-program bercirikan usaha murni  sebegini pada masa yang akan datang agar ummah terbela, anak muda terpelihara. 

Di sini saya sediakan sebuah bingkisan travelog sepanjang kembara kali ini.  Travelog ini membumikan sedikit sebanyak pengalaman, tarbiyah diri dan saat-saat indah yang terakam di bumi penuh juang, Selatan Thailand.  Moga ibrah yang serba kekurangan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca, tidak banyak pun tidak mengapa, asalkan ada sesuatu yang diceduk darinya buat teladan mahupun sempadan diri.

Wallahu’alam.

Hari Pertama
Sabtu, 4 Oktober 2014
Pengembara Qowiy

Alarm di telefon mudah alih ‘membingitkan’ suasana.  Pagi masih pekat hitam, tidak kelihatan lagi mentari menjengah di ufuk timur.  Saya bingkas bangun menyiapkan diri.  Perasaan teruja kerana hari inilah buat pertama kalinya saya akan menjejak kaki ke luar negara.  Hari ini jualah saya akan bermusafir buat julung kalinya di bumi Thailand.  Jam baru sahaja menunjukkan 04:15 pagi.  Keadaan pagi yang dingin membuat saya rasa mahu terlena semula, saya abaikan.  Semangat membatasi kehendak ingin tidur pada waktu itu.  Saya lihat mama saya sudah terjaga awal.  Wajahnya biasa-biasa sahaja.  Tidak seperti malam tadi, riak wajahnya keluh resah pabila memikirkan hari ini saya akan bertolak pergi ke negara jiran.  Saya tahu pasti mama risau.  Saya coretkan sesuatu buat mama,

Mama,
Pergi anakmu ini bukannya mencari keseronokan duniawi,
Izinkan anakmu melangkah pergi mencari identiti diri, menimba ilmu di ‘tepian perigi’
…demi sebuah redho Ilahi.
Ketahuilah mamaku sayang,
Sekeping hati ini tidak mampu terpulih gelodak resah andai tidak direstui.
Mama ampuni diriku,
Ku tahu kamu punya naluri,
…berat hati melepasku berangkat sendiri.
Namun yakinilah…Allah selalu ada di hati, menjaga setiap gerak-geri.
Mama…
Ku ingin menjadi pengembara qowiy
…yang kental tempuh mehnah dan tribulasi.
Doamu mama penguat diri,
…agar ku kekal di landasan abadi.
Dari anakmu yang ingin ‘pergi’,
…demi sebuah maghfirah Ilahi.


 Saya mengatur langkah.

Lebih kurang jam 05:30 pagi.  Saya tiba di Stesen Bas Kota Bharu.  Mujurlah ada adik yang menghantar.  Kami solat subuh bersama-sama di surau berhampiran.  Dalam perjalanan adik banyak mendiamkan diri, saya tidak dapat baca apa yang bermain di fikirannya, cuma jelas kelihatan seperti risau.

Kita hanya mampu merancang, 
akan tetapi…
Allah jualah sebaik-baik perancang.

Sesudah solat, kami berlalu menuju ke Stesen Bas Kota Bharu.  Orang awam mula memenuhi kawasan sekitar.  Ada yang berbeg besar, ada yang ala kadar sahaja.  Dan ada juga yang bersahaja.  Pelbagai.  Adik bertolak pulang semula ke rumah kami di Pasir Puteh.  Berpisah.  Sementara.  Atau mungkin selamanya. 

Saya menanti peserta-peserta dari Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) tiba.  Namun seorang pun masih belum kelihatan, kami berjanji berkumpul di situ, tidak semua setahu saya sebelum itu.  Saya cuma mengagak.  Tidak kenal rupa apatah lagi jiwa.  Handphone saya dicapai, ingin bertanyakan saudari Irah dan saudara Aqi ada di mana.  Mereka berdua sahaja yang saya kenal.  Itupun semasa kami sama-sama mendaftar borderpass di RTC, Tunjong.

Irah masih lagi dalam perjalanan.  Aqi juga sama. 

Selepas mendapat contact salah seorang peserta bernama Fatin, saya terus call.  Katanya sudah sampai.  Kami berjumpa.  Berkenalan serba sedikit.  Umminya pun ada. 

Kami tunggu tidak lama.  Selang beberapa minit sahaja, Irah tiba bersama dengan seorang lagi peserta iaitu saudara Huzaifah dan rakannya yang membantu kami ke Pusat Imigresen Sungai Golok.  Rakannya menumpangkan kami kereta. 

Jalan ke sana hanya mengambil masa lebih kurang satu jam akibat jalan sesak dengan kenderaan peniaga,  pekerja awam.  Saya kira begitulah. 

Sampai di sana, makan pagi, menunggu peserta-peserta dari Unisel seramai 4 orang.  Kami dari Kelantan 6 orang.  Jumlahnya 10 orang untuk program Kembara Qurban kali ini.  Sementara menunggu, saya berbual dengan Irah.  Fatin tekun membaca buku yang baru dipinjamnya dari Irah.  Buku yang berkisarkan sejarah di Thailand.  Banyak yang kami bicarakan.  Mengenai Thailand, diselitkan sedikit dengan perkongsian pengalaman daripada Irah yang sudah beberapa kali ke sana. 

Lebih kurang satu jam kami menunggu, peserta dari Unisel tiba.  Rasa awkward juga ada.  Masakan tidak, kami tidak mengenali antara satu sama lain, berkumpul demi sebuah pengalaman yang tidak mampu perolehi di bilik kuliah.  Semua peserta sudah berkumpul.

Saudara Mohd Azhari, dari Unisel
Saudara Muhd Redhuan, dari Unisel
Saudara Muhammad Huzaifah, dari KIAS
Saudara Mohamad Asri, dari KIAS
Saudara Muhd Baihaqi, Darul Quran
Saudari Nur Syahirah, dari KIAS
Saudari Siti Nursolehah, dari Unisel
Saudari Nur Shakiya, dari Unisel
Saudari Fatin Amalina, dari KIAS
dan,
saya Arni Shuhada dari UiTM.

Langkah Pertama di Thailand, Su-Ngai Kolok.
Cop Pas Sempadan dulu.


Kami berjalan kaki menuju ke Pejabat Imigresen Su-Ngai Kolok.  Lebih kurang 5 minit dari tempat kami menunggu tadi.  Sampai sahaja pejabat, borderpass kami dicop oleh pegawai imigresen yang bertugas.  Semuanya berjalan lancar.  Saya pula tidak melepaskan peluang bergambar di pintu masuk Pejabat Imigresen Su-Ngai Kolok.  Teruja.

Keadaan sekeliling dipenuhi manusia datang dan pergi silih berganti, agak keliru mengecam muka orang Melayu atau orang Thailand.  Hampir sama.  Mungkin warna kulit agak berbeza bagi orang Melayu yang berkulit sawa matang seperti saya.  Di sini kebanyakannya ramai yang menggunakan motor sebagai pengangkutan utama.  Ramai yang menawarkan khidmat pengangkutan motor kepada kami.  Saya sudah mula rasa berdebar.  Mana mungkin saya akan membonceng, pemandunya semua terdiri daripada lelaki lingkungan umur 20 hingga 50 tahun saya kira.  Tidak mungkin.  Lega sedikit hati bila saya dapat tahu pengangkutan kami ialah sebuah van.  Rupanya saudara Azhari sudah deal dengan pihak pengangkutan awal-awal lagi.

Kami akan dibawa ke Su-Ngai Padi.  Sepanjang perjalanan, saya, Irah, Fatin, Solehah dan Kiya tidak lepas dari memerhati keadaan di tepi-tepi jalan.  Masing-masing senyap menikmati pemandangan sekitar.  Penuh dengan kedai-kedai, label kedai juga bertulisan Thailand.  Tidak faham.  Kami berhenti sekejap untuk menukar matawang Malaysia ke matawang Thailand.  Tidak ada masalah, cuma agak janggal bila pekan yang kami singgah itu diawasi oleh trak-trak askar.  Askar di sana-sini, senapang besar pula di sisi bahu. 

Perjalanan diteruskan ke destinasi pertama kami, Su-Ngai Padi.

Kira-kira 11:00 pagi waktu Thailand, kami tiba di Rumah Rahmat, Su-Ngai Padi.  Rumah ini adalah milik Haji Anawi Abbas dan isterinya, Hajjah Ummi Kalsom.  Haji Anawi Abbas merupakan seorang wakil Dun Narathiwat.  Kami disambut dengan mesra sekali, bersalaman dengan ahli keluarga Haji Anawi.  Semuanya ramah, tidak lekang dengan senyuman.  Hati yang tadi sebenarnya sedikit gentar pada awalnya, seperti hilang serta merta tatkala melihat kedamaian sebuah ukhuwwah fillah di situ.  Kami dijemput berkumpul di ruang tamu rumah, dihidang minuman dan kuih-muih.  Haji Anawi memberi sedikit kata alu-aluan kepada kami sebagai tetamu.  Beliau gelarkan dirinya sebagai Pak Su Wi.  Pak Su Wi adalah kenalan rapat Ustaz dari Unisel.  Saya tidak pasti namanya.  Diceritakan serba-sedikit kepada kami mengenai suasana di sini.  Rupanya di Thailand sudah menyambut Hari Raya Aidiladha.  Katanya Mak Su (isterinya), sudah beberapa ekor lembu sudah dikorbankan pagi tadi.  Kami sudah terlepas menyaksikan penyembelihan. 




Rumah Rahmat, milik Pak Su Wi (Gelaran Beliau). Beliau menjadi Adun Wilayah Naratiwat tetapi hidup sedarhana sahaja.
Beliau ada sebut, Jadi Adun di sini tidak kaya seperti di Malaysia.

*Penginapan hari pertama di sini, Air Kubu, Naratiwat.


Bertaaruf serba sedikit.

Kemudian, kami dibahagi bilik.  Aktiviti kendiri, dan solat jamak qasar waktu Zohor dan Asar berjemaah.  Sesudah itu, kami dijamu makan tengah hari.  Nasi putih, daging singgang, daging goreng, dan ulam timun sebagai makanan utama tengah hari.  Sedap ‘berkali-kali’, bukan ‘sekali’.  Saya, Irah, Fatin, Solehah dan Kiya tidak sempat membantu di dapur.  Segan pula rasanya.  Langkah sahaja kami di ruangan dapur, semua ahli keluarga mereka sudah penuh menyiapkan juadah, membahagi tugas memasak itu ini.  Saya pula mengintai-ngintai resepi bahan-bahan masakan yang digunakan.  Hampir sama dengan masakan negeri Kelantan.  Tidak banyak beza, cuma hidangan daging singgang ditambah serai.  Bahan-bahan lain sama saja.  Katanya Mak Su, jika tambah serai lagilah wangi masakan singgang, nah!  Dapat satu tips!   Memang betul katanya, saya sendiri menambah berkali-kali sup singgang ke dalam pinggan nasi saya.  Aduh! Diet entah ke mana.  Bukan selalu.

Berkemas.


Anak-anak di Kampung Madrasah Nurul Takwa
Kami dibawa Pak Su Wi ke beberapa tempat di sekitar Dun yang dijaganya.  Tempat pertama kami tuju adalah Kampung Nurul Takwa.  Di sana, kami melawat sebuah madrasah yang mempunyai kejadian seorang Imam ditembak ketika menunaikan solat di dalamnya.  Kami khusyuk mendengar cerita orang kampung sana mengenai kejadian tersebut.  Kesan-kesan tembakan masih jelas lagi kelihatan di dinding dan lantai madrasah.   Saya berjalan melihat keadaan sekeliling madrasah.  Berdekatannya terdapat sebuah tadika usang milik kampung tersebut.  Sungguh dhoif.  Bangunannya sahaja diperbuat dari kayu, juga fasilitinya jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Tadika di Malaysia.  Saya bukan merendahkan, cuma ingin melahirkan rasa emphaty terhadap keadaan ekonomi yang menimpa kawasan Selatan Thailand.  Beberapa orang anak kecil datang mendekati.  Barangkali pelik melihat gelagat kami yang berlegar-legar di madrasah dan tadika mereka.  Irah mendekati mereka.  Seronok melihat Irah, Kiya dan Fatin melayan adik-adik kecil itu, memuji mereka menggunakan bahasa Thailand, tertawa adik-adik.  

 
Kelas di Tadika bersebelahan Madrasah Nurul Takwa.
Kelas yang daif namun masih ada murid, guru dan wujudlah pengajian.

Gurunya dibayar RM18 seminggu (nilai duit Malaysia). Kiranya saya boleh sebut Guru di sini hatinya mulia.

*Madrasah Nurul Takwa pernah berlaku kes jemaah Surau kena tembak.



Saya mendengar perbualan Fatin dengan seorang anak kecil,

Fatin     :               Esok raya.  Mesti pakai baju baru ni?
Adik      :               Pakai yang mana ada saja.

Adik kecil itu tersenyum.  Tiada riak suram di wajahnya.  Saya dan Fatin berpandangan.  Masing-masing melemparkan senyuman tawar.  Jauhnya beza taraf hidup kita dik.  Saya juga bukannya orang senang, tetapi sepanjang hidup saya, punya baju baru setiap kali hari raya itu seperti sesuatu benda yang sudah menjadi kebiasaan.  Mama, allayarham abah, tidak lupa membeli baju raya untuk anak-anak setiap kali hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.  Insan yang bergelar Mama inilah yang selalu bertungkus-lumus menyiapkan baju hari raya kami adik-beradik waktu saya seusia mereka.  Fikiran saya jauh menerewang nun di sana.  Mengingatkan hari esoknya Hari Raya Aidiladha akan disambut di Malaysia, dan saya pula di sini.  Pertama kalinya saya tidak beraya bersama keluarga.  Tipulah, jika saya katakan saya tidak keberatan.  Namun pengalaman sebegini juga bukannya selalu datang.  Saya perlu jadikan ianya sebuah ibrah yang bermanfaat untuk mentarbiyah jiwa muda ini.

Setelah menyelami serba sedikit sejarah dan tragedi juga beramah mesra bersama orang-orang kampung di situ, kami berangkat ke sebuah perkampungan lain pula. 

Tok Bei dan Mer Bouk.  Penuh syukur kami diterima baik masyarakat setempat.  Kami tetamu dilayan sebegitu baik. Alhamdulillah.  Tambah lagi bila mereka tahu kami dari Malaysia.  Ada juga sesetengah dari orang kampung di sana berhijrah ke Malaysia untuk bekerja.  Kata mereka, Malaysia sungguh aman dan damai.  Tiada sengketa.  Cuma kata mereka jikalau adapun, kerajaan cepat-cepat mencari solusi.  Itu apa yang mereka kata.  Dalam hati, saya bermunajat syukur kepada-Nya.  Semoga bumi mana jua kita pijak, biarlah jua keamanan yang disepakati, bukannya perbalahan yang dihadapi. 

Kami bergerak pulang semula ke Rumah Rahmat, Su-Ngai Padi.  Masing-masing dengan ekspresi muka yang mungkin memikir sebuah persoalan yang tidak terungkai, atau mungkin juga sedang muhasabah diri.  Mungkin.

Masa itu sudah hampir Maghrib.  Waktu di Thailand, maghribnya pada jam 06:30 petang.  Semua bersiap, membersih diri dan solat berjemaah.  Makan malam kami juga telah siap terhidang.  Malam itu ada postmoterm.   Waktu inilah kami lebih mengenali antara satu sama lain.  Semuanya mempunyai keistimewaan dan latar belakang yang berbeza.  Syukur mengenali rakan-rakan yang berjiwa besar seperti kalian!  Teruskan, jangan berhenti, rehat kita bukan di dunia!  Persamaan disyukuri, perbezaan dirai.  Kami juga membincangkan tentatif sepanjang di sana.  Tentatif lebih kepada fleksibiliti mengikut kesesuaian masa  dan keadaan.  Ketika inilah kami diberi arahan untuk menyiapkan sebuah travelog dan puisi sepanjang program Kembara Qurban di sini.  Postmoterm  ditangguhkan lebih kurang pada jam 12:30 pagi waktu Thailand, pada jam 11:30 malam waktu Malaysia.   
Surah Al-Mulk.
Selamat malam.

Hari Kedua
5 Oktober 2014.             
Hari Raya Qurban di Thailand 
Menelusuri jejak para ‘Syuhada’, Taba

Pagi.
Jemaah subuh.
Al-Mathurat.

Bersiap.  Hari ini kami semua akan meninggalkan Rumah Rahmat.  Akan bertolak ke  Rumah Anak Yatim AYATA, Tabal.  Sungguh berat untuk berpisah kerana fikir betapa baik budi dan besar jasa keluarga Haji Anawi kepada kami semua.  Allah jualah sebaik-baik kita sandarkan kebergantungan qada’ dan qadar pada sebuah pertemuan dan perpisahan. 

Kami bertolak dengan menaiki sebuah kenderaan yang saya juga kurang pasti masyarakat di sini memanggilnya apa.  Tapi ianya hampir serupa dengan kenderaan yang dipanggil ‘Angkut’ oleh orang-orang di negara Indonesia sana.  Pengalaman pertama.  Best!  Sebelum ke Tabal, kami akan singgah di beberapa tempat.  Destinasi pertama adalah ke Kawat.  Kawat adalah kampung halaman salah seorang peserta Kembara Qurban, iaitu Azhari.  Kami akan solat sunat Hari Raya di sana.

“Allaahuakbar…Allaahuakbar…Allaahuakbar…Laa–ilaaha–illallaahuwallaahuakbar…Allaahuakbar walillaahil–hamd…”


Takbir syahdu itu bergema.  Masyarakat kampung penuh mengerumuni Masjid.  Kami bergerak memasuki ruang Masjid, disambut senyuman oleh orang-orang di situ.  



“Allah maha besar lagi maha sempurna kebesarannya, Segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, Dan maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.  Tiada Tuhan selain Allah dan tidak ada yang kami sembah kecuali hanya Allah, dengan ikhlas kami beragama kepadanya, walaupun orang-orang kafir membenci.  Tidak ada Tuhan selain Allah sendiri; Benar janjinya, menolong hambanya, memulihkan tenteranya, dan mengusir musuh-musuh (Nabi)nya sendirian. Tiada Tuhan selain Allah, Allah maha besar. Allah maha besar dan segala puji bagi Allah.”

Luas hamparan langit seakan saksi akan sebuah pengorbanan, seluruh umat Islam bertahmid memuji dan munajat kesyukuran.  Memperingati sebuah pengorbanan dan kesabaran Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s  dalam menunaikan dan memenuhi perintah Allah. 

Selesai solat sunat Hari Raya di masjid, kami dijemput oleh keluarga saudara Azhari untuk menjamu makan di rumahnya. 

Takbir bergema.

Alam seakan berbicara syukur,

Ruang udara bagai terisi molekul segala kegembiraan.



Tenang,



Bila punya hati ini,

Ingin ku genggam.

Penuh kesyukuran,

Kemanisannya bila takbir dilaungkan,

Roh jihad mula bertebaran.



Aku dakap ukhuwah ini dari kejauhan,

Biarlah ketentuan ini satu pengukuran,

Demi jannah Ilahi, ku pasti genggam dengan penuh kekuatan.



Kerana ku tahu pengembara qowiy itu penuh pengorbanan.

Kami teruskan perjalanan.  Kali ini panjang betul saya rasa masa perjalanan.  Sampaikan saya terlena sekejap.  Sepanjang perjalanan, ada banyak perkongsian dari rakan-rakan.  Saya mula kagum dengan seorang penulis yang merupakan peserta program ini juga iaitu saudara Asri.  Kagum dengan pengetahuan yang beliau miliki pada seusia lebih kurang kami.  Sensitiviti beliau terhadap isu-isu dan idealisme terkini, seperti sudah sebati dengan hidupnya.   Saya pasti akan membaca tulisan-tulisan beliau apabila balik ke Malaysia nanti (asriyussof.wordpress.com).  Saya lebih suka membaca tulisan-tulisan yang pelbagai untuk menambah pengetahuan juga mempelajari teknik-teknik dan gaya bahasa yang digunakan.  

Dari kiri, saudari Shahirah, Kiya, Fatin dan saya, Shuhada


Kami sudah tiba di Masjid Wadi Husein, Teluk Manuk.  Perancangan awalnya untuk singgah ke pantai terlebih dahulu, tetapi atas kesepakatan bersama, kami batalkan sahaja keinginan itu.  Masa tidak mengizinkan.  Kami perlu pantas dan efisien!  Teluk Manuk terletak di Narathiwat Selatan Thailand.  Masjid yang kami kunjungi ini punyai sejarahnya yang tersendiri.  Masjid yang diperbuat daripada kayu ini adalah masjid yang menjadi saksi sumbangan ulama’ besar Pattani sejak beberapa abad yang lalu.  Nama masjid ini adalah bersempena dengan nama seorang ulama’ yang terkenal pada 380 tahun yang lalu iaitu Wadi Husein al Fathani.  Beliau adalah ulama’ yang menghafaz 30 juzuk al-Quran juga beribu-ribu hadis Nabi s.a.w.  Dikisahkan bahawa semua pelajar yang menuntut dengannya digelar dengan panggilan ‘Al Fathani’ pada setiap penghujung nama.  Apa yang uniknya mengenai masjid ini adalah ianya dibina tanpa diikat oleh paku, sebaliknya hanya menggunakan pasak.  Sungguh damai suasana di kawasan masjid ini yang mana terdapat sebuah bukit yang merupakan arah kiblat, indah, indah sekali. 

Di sisi kawasan Masjid terdapat perkuburan lama, seusia dengan umur masjid.  Penuh batu-batu nisan bertebaran pada hamparan rumput menghijau luas di kaki bukit.  Di hujungnya, terletak sebuah makam para Syuhada yang mana pada tahun 24 Oktober 2004 yang lalu, terjadinya tragedi pembunuhan di Tak Bai, 85 orang terbunuh akibat sesak nafas kerana ditindan beramai-ramai di sebuah trak.  Jenazah tragedi disemadikan di kaki bukit Teluk Manuk.  

Tanah Perkuburan Syuhada dalam Tragedi Takba pada 2014.

*Manusia diikat tangan di belakang, dibaringkan di atas jalan tar dan diletakkan beramai-ramai di dalam satu trak dan dibawa ke penjara yang jaraknya hanya 3km tetapi askar membawa melalui jalan jauh yang jaraknya 8km lebih.
Ramai yang mati lemas dalam timbunan manusia (lelaki).

...Al-Fatihah...


Saya dan rakan-rakan yang lain tidak melepaskan peluang menziarahi makam para syuhada yang tidak terletak jauh dari masjid.  Kami sedekahkan Al-Fatihah.  Sayu tatkala saya mendekati makam tersebut.  Ianya seolah mendengar alam berbicara sunyi menyatakan bahawa sebenarnya mereka yang ‘pergi’ ini tetap ‘hidup’.  Alam seperti berbicara lagi, biarlah jasad mereka bersemadi di sini, kami menjaganya baik, kerana sesungguhnya mereka akan dibangkitkan kembali, dan akan menjadi saksi ketidakadilan sebuah pemerintahan.  Firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran ayat 169,

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki” (Ali Imran:169)

Angin bertiup nyaman.  Pokok buah langsat di sekitar makam para syuhada bergugus-gugus lebatnya, warna kuningnya terang menandakan sudah ranum untuk dipetik.  Namun seperti tiada yang terusik.  Menakjubkan suasana di sekitar itu.  Subhanallah.  Kami berlalu, melalui sebatang sungai yang mengalir di tepi Masjid.  Ada anak-anak kecil mandi-manda di situ.

Masjid Wadi Hussain, Teluk Manuk.
pemandangan dari Jauh melalui sungai, batu-batuan, pepohon dan cuaca yang reduh-reduh panas.
 
 
Meninggalkan Masjid Wadi Hussein.

*Masjid terletak di kawasan perbukitan. Indah.
Perjalanan diteruskan lagi ke destinasi utama kami iaitu ke Takbai.  Perjalanan agak jauh juga.  Saya terlena sehinggalah sampai ke perkarangan Asrama AYATA, sebuah badan kebajikan anak yatim yang terletak di Takbai, Narathiwat.  

Rumah Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (AYATA)


Info Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (AYATA)

Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (AYATA) ini ditubuhkan dan beroperasi pada 29 April 2003.  Mempunyai seramai 66 orang anak yatim.  35 orang lelaki dan 31 orang perempuan dan juga fakir miskin yang dibantu serta dididik oleh badan ini.  Kampung Tabal, Takbai, Narathiwat, Selatan Thailand bersempadan dengan Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan, Malaysia.

Objektif penubuhan badan kebajikan ini adalah untuk membantu dan menolong anak-anak yatim yang hilang tempat bergantung (ibu bapa).  Selain itu, ianya juga bertujuan mentarbiyah generasi supaya menjadi insan yang soleh dan solehah serta beraklak mulia di masa hadapan.  Tambahan lagi, badan kebajikan ini juga adalah untuk melaksanakan dan menyempurnakan pendidikan agama dan akademiknya ke peringkat pengajian tinggi. 

“Apakah kamu mengetahui orang yang mendustakan agama?  Itulah orang yang mengherdik anak yatim.  Dan tidak memberi makan kepada orang miskin.  Maka celakalah orang-orang yang solat.   Iaitu orang yang lalai dari solatnya.  Orang-orang yang riak (tidak ikhlas ibadahnya) dan enggan memberi bantuan yang berguna”


Kalau bukan kita yang membantu, siapa lagi yang akan membantu mereka?  Renung-renumgkan dan selamat beramal. 

Antara program-program yang telah, sedang dan akan dijalankan oleh badan ini adalah seperti Pengajian dan Tahfiz al Quran.  Selain itu terdapat juga pengajian tambahan bahasa Melayu, Arab dan Inggeris.  AYATA juga mengadakan program qiamullail, tarbiyah, serta aktiviti luar seperti lawatan sambil belajar. 

Bantuan yang diperlukan oleh AYATA adalah makanan asas seperti beras, gula, minyak, ubat gigi, sabun, dan barang keperluan harian untuk penghuni asrama.  Juga orang ramai juga boleh menyumbang dalam bentuk kewangan untuk membeli lauk-pauk dan perbelanjaan persekolahan anak-anak asrama AYATA.   Juga bantuan yang berupa fasiliti seperti computer untuk kegunaan pejabat dan pembelajaraan anak-anak yatim. 

Sebarang pertanyaan berkaitan, bolehlah berhubung dengan Cikgu Nawawi Yunus, 017-9186467.



Bergambar dengan anak kepada penderma di AYATA.

Dari kiri, saudari Solehah, Shahirah, Fatin dan saya.


******

Kami mengangkat beg.  Di sinilah kami semua akan bermalam.  Kami kumpulan muslimat akan bermalam di hotel berdekatan.  Kumpulan muslimin akan bermalam di asrama lelaki AYATA .  Hujan membasahi bumi Takbai.  Kami solat berjemaah.  Balik hotel, kemudian rehat. 

Seusai solat berjemaah pada malamnya kami adakan sesi taaruf  dan pengenalan AYATA bersama ustaz Nawawi dan juga beberapa aktivis dakwah Pattani lebih kurang sebaya dengan kami di AYATA. 

2 dari kanan, Cikgu Nawawi, Pengerusi AYATA.


Ta'aruf bersama Anak-anak Muda yang membantu menggerakkan AYATA


Ta'aruf.

*4 dari Kanan adalah Anak Muda yang membantu Menggerakkan AYATA


Bersurai.

Kami kumpulan muslimat dihantar ke Hotel oleh Ustaz Nawawi.  Keadaan hotel agak sunyi.  Suasana sekeliling pula agak lengang.  Menyeramkan bagi saya.  Rupanya ada kisah ngeri berkaitan pembunuhan barangkali, di hotel tersebut.  Wallahu'alam.  

Al-Mulk.
Selamat Malam.




Hari Ketiga
Isnin, 6 Oktober 2014.  
Pulang ke Malaysia

Pagi.
Jemaah subuh.
Al-Mathurat.

Kami bersiap.  Kesian pula saya tengok saudari Solehah.  Selsemanya dari malam tadi masih tidak baik-baik lagi.  Qowiy ya sahabat! Pagi ini kami sarapan di AYATA.  Kumpulan muslimin akan dibawa Ustaz Nawawi dan sahabat-sahabat dari sana ke Sungai Tabal.  Menaiki bot.  Wah!  Seronok.  Kami muslimat pula bershopping, mungkin lebih kepada window shopping.  Tidak banyak kedai yang buka.  Tidak mengapa.   Yang penting dapat berukhuwwah dengan sahabat baru iaitu anak perempuan Ustaz Nawawi yang sekarang bercuti.  Beliau adalah pelajar di Universiti tempatan.  

Sempadan Takbai, Thailand - Pengkalan Kubor.


Selesai sahaja solat zohor berjemaah, kami berangkat ke Jeti Takbai.  Menaiki bot di sana. 

Lop khorn Thailand!  Selamat tinggal bumi Thailand! 
Bumi penuh juang, bumi penuh cinta, suka, dan duka. 


“Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat.  Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah.

Berkelanalah, engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan.

Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan.

Aku melihat air yang tenang bertakung, mencemar kandungannya sendiri.

Sekiranya ianya mengalir, ia akan baik, sekiranya ia tidak mengalir, tercemar.”

Petikan Syair Imam Syafie.

-TAMAT-
 


*Terima kasih kepada saudara Asri untuk gambar-gambar dan deskripsi.
*Travelog di atas adalah dicatat saya, Arni Shuhada sendiri, sepanjang kembara di Thailand dan dikemaskini di Malaysia.

No comments: