Senyumlah selapangnya.
Bismillah, Allah mengizinkan nama
ARNI SHUHADA BINTI SUKRIDIN
menjadi milik diri.
"Perjalananku jua dirimu pasti berakhir menuju Pencipta,
Andai kata syurga itu layak ku jejaki, ingin ku menapak ke sana bersama-sama dirimu saudara islamku semua."

Monday 19 January 2015

Sejuta Hikmah Disebaliknya, Insya-Allah.



“Sahabat, jangan pergi…” saya membisik sendiri. 
Mata dipejam erat. Seluruh badan seakan lumpuh, tidak gagah menahan lagi, lutut terhempas ke lantai. Mutiara hangat membasahi pipi.  Dikesat berkali-kali, namun tetap mencurah-curah bagai tidak tertahan lagi menyekat empangan kesedihan.

Sebuah perpisahan.  Suatu yang amat saya geruni setiap kali ianya menyinggah menguji diri dan hati.  Benar sekali, hati kadang berbicara: 

“Kuatlah, Allah ada.  Dia pasti ini yang terbaik.”

“Wake up, move on!”
Saya tekup wajah.  Tidak mampu.  Jujur saya katakan, saya tidak sukakan perpisahan!  Ya, jujur dari hati saya. 
 

Mengapa Harus Pergi?


Saya kadang membentak geram, kenapa adanya pertemuan dan perkenalan jika noktahnya sebuah perpisahan dan pemergian? Jujur saya katakan pertemuan ini adalah yang amat bermakna di dalam kehidupan saya.  

Jiwa ini mati.  Mimpi seakan ternoktah di sini, kerana dirimu sahabat.  Akan pergi. 

Ada kalanya berteleku sendiri. 

Air mata ini tetap membasahi, mungkin saya perlu masa, redhalah hati! Kepada-Nya jualah mampu diluahkan segala isi hati, mungkin sakitnya tidak terperi, bahkan mungkin juga tiada yang mengerti melainkan diri sendiri dan Ilahi.

Tahukah kenapa?  Kerana sayang ini tidak luntur, meski cuba dihakis hari demi hari.  Kehendak dan ujian dari Ilahi harus ditempuhi demi darjat di syurga-Nya nanti.

Murabbiah berpesan:

“Itu normal, fitrah manusia.  Uruskan fitrah itu dengan istighfar.  Bersabarlah, itu juga ujian dari-Nya.”


Diam Bukan Bererti Sekadar Diam.


Sudah lama saya pendamkan.  Saya diamkan.  Tidak  mungkin saya luahkan sekarang.  Mungkin waktunya akan tiba.  Atau mungkin tidak.  Berkali-kali ibunda saya berpesan:

“Kenapa mendiam, jika benar suka berusahalah.”

Ya.  Saya sedang berusaha.  Berusaha menjaga hati dan perasaan, agar tidak kecundang bertempiaran tiada haluan. 

Saya mendiamMenjauh, mencari diri. 

Diam bukan bererti diam.  Diam menjaga, diam hiasi peribadi.  Sungguh, doa itu tidak harus terhenti di sini.  


Redha itu Terkadang Payah.


Setiap kali pertemuan dan kemudiannya terjalin ukhuwah persahabatan, saya pasti menyambutnya dengan riang dan hati terbuka.  Tetapi setiap perpisahan, saya tidak kuat.  Mungkin ambil masa berhari, berminggu, berbulan dan bertahun-tahun untuk ubatinya.

Sekarang, hati saya berbisik redha.  Jika dulu, saat hati sedang bersanggah pendapat dengan perasaan, seringkali saya pertikaikan.

Kenapa mahu lepaskan jika memang sayang, kenapa tidak perjuangkan saja?  Kenapa membiarkan?

Hari-hari berlalu, jam meredah saat, minit dan masa itu berlalu dengan didikan hati yang semakin mematangkan pemikiran.  Hal ini  membuat saya lebih faham kenapa semuanya berlaku.  Sebuah pemergian, sebuah perpisahan. 

Kita bercakap mengenai mampu diri.  Jujur saya cakap, saya sendiri juga terkandas dari batas mampu.  Tetapi jika kita tidak pujuk diri kita sendiri, siapa lagi?  Berdoalah pada Allah.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud: 


“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.

Ya. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya, batas kemampuannya.  Senyumlah untuk itu wahai diri.

Ada seorang penulis menukilkan:

“Redha bukan bermakna tiada tangisan tetapi adalah penerimaan tanpa persoalan terhadap apa yang telah ditentukan oleh Allah.”

Akhir Kata : Biar Ukhuwah ini Erat Kerana-Nya.


Puisi ini saya petik dari cikgu saya, Encik Hilal Asyraf:  



"Awak, Kita Ini Bercintakah?"




Awak,
Kita tidak berpegangan tangan seperti mereka,
melafaz kata cinta berbalas-balasan,
bahkan sering ada jarak antara kita,
dan wujud pelbagai batasan,

Kita ini bercintakah?
Awak,
Kita ini tidak sering berhubungan,
tiada bicara manis,
dan masing-masing sibuk dengan diri untuk dipersiapkan.

Kita ini bercintakah?

--------------------------------------------

Ya,
Kita ini bercinta,
cuma bukan dengan definisi mereka.
Tetapi dengan definisiNya.
Belum waktunya untuk melangkaui batas yang ada,
sekarang adalah masa untuk mempersiapkan diri kita.
Manis hubungan bukan pada pegangan tangan,
juga bukan pada bicara kata,
tetapi dengan hubungan kita terhadap Tuhan,
dan sejauh mana kita menjaga pasangan dari neraka.


Nanti bila bersama,
kita bukanlah keluarga biasa,
bahkan pasangan yang siap untuk menembus syurgaNya.
Awak,
bukankah itu adalah cinta? 

-Hilal Asyraf- 
1238
111011
Irbid,
Jordan.



P/S: Pernah cakap pada diri, kalau mahu jadi jiwang, jadi jiwang yang luar biasa.



Jika ini benar-benar perpisahan, saya tetap akan menunggu.  Biarpun penantian itu tiada noktah di dunia, saya doakan agar pengakhirannya di syurga sana. 

Kerana saya hajat ukhuwah ini erat kerana-Nya

“Sahabat, Fi hifzillah. Jaga dirimu di sana nanti. Pagari diri dengan iman dan taqwa kepada-Nya. Ya, jaga diri, cekalkan hati dan teguhkan iman amal. Gencangkan amal soleh semampu boleh. Semoga langkahan jejak perjuangan kita tidak tersasar, ingatlah Allah dalam setiap urusan. Moga keberangkatan dan perpisahan ini ikhlas kerana Allah.  Mudahan Allah redha.   

Allahumma amiin.






Sahabatmu

-Shuhada-
18012015

No comments: