Senyumlah selapangnya.
Bismillah, Allah mengizinkan nama
ARNI SHUHADA BINTI SUKRIDIN
menjadi milik diri.
"Perjalananku jua dirimu pasti berakhir menuju Pencipta,
Andai kata syurga itu layak ku jejaki, ingin ku menapak ke sana bersama-sama dirimu saudara islamku semua."

Thursday 25 September 2014

Ustazah, saya datang!

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah. Dipertemukan lagi kita dalam ruangan serba dhoif ini.  Walaupun sekejap-sekejap sahaja dapat menambah satu entry baru, namun cukuplah bagi saya yang agak serabai membahagi masa dengan baik. Saya cuba yang terbaik dalam menguruskannya, In Sha Allah. 

Ruangan kali ini saya ingin berkongsi detik pertemuan dengan seorang insan yang sangat saya kagumi keperibadiannya.

'Ustazah Fatimah Syarha binti Mohd Noordin'

Tertera namanya pada sebuah helaian flyer yang tertampal kemas pada dinding notis di kampus. Saya tersenyum. "Allah aturkan pertemuan kita sekali lagi Ustazah," bisik hati saya. Tajuk forum kali ini adalah, 'Cinta Dambaan Syurga'. Menarik. Rindunya saya akan halaqah bersama-sama Ustazah sewaktu di Kuala Terengganu dahulu. Masih segar lagi di ingatan saya momen pertama kalinya pertemuan kami di UiTM Kuala Terengganu dan kali kedua di Masjid Al-Muktafi Billal Shah Kuala Terengganu semasa saya masih lagi di peringkat pengajian diploma ketika itu.

Saya menghitung hari, lagi tinggal sehari sahaja forum itu akan berlangsung. Saya sudah membuat temujanji dengan seorang rakan kampus untuk sama-sama hadir di sana. Semangat berkobar-kobar menantikan perkongsian ilmu dan ibrah dari ustazah. Jika bercerita pengalaman bagaimana saya boleh mengenali dan selalu mengikuti perkongsian-perkongsian ilmu dari ustazah, pasti membuat saya tersenyum lebar. Perancangan Allah sangat teratur dan indah. Indah sekali. 

Saya ingat lagi, pada waktu pertama kali 'aturan' pertemuan kami...

Saya berada di luar kampus. Selesai sahaja menunaikan solat zohor, rakan-rakan sebilik saya mengajak keluar membeli keperluan makanan. Saya sudah berkira-kira untuk tidak pergi, wajah rakan-rakan saya seperti betul-betul memerlukan. Sudah saya beritahu awal untuk pergi ke forum petang itu, mungkin mereka lupa atau sudah tiada pilihan lain. Tidak mengapa, saya ikutkan saja. Moga Allah permudahkan. Jalan raya sesak. Saya lihat jam sudah hampir pukul 04:00 petang. Pukul 04:30 petang forum akan bermula. Tajuk forum ketika itu adalah 'Cinta High Class'. Kami sudah dalam perjalanan pulang. Rakan saya mula bertanya. Mungkin riak muka saya jelas tergambar kegusaran akan lewat hadir ke forum itu. Saya hanya tersenyum, pinta semua doakan saya sempat ke sana.

Tepat jam 04:30 petang, kami sampai di perkarangan kampus. Kereta yang kami sewa perlu dihantar pada pemiliknya. Tiada yang dapat menggantikan saya, kerana saya lah sahaja yang ada lesen kereta. Lama juga menunggu pemilik kereta datang mengambil. Cuma hati saya yang mampu beristighfar. Aturan-Nya pasti terbaik. Fasobrun Jameel.

Selesai saja urusan kereta sewa, jam sudah menganjak hampir kepada 05:00 petang. Aduh! Saya belum lagi solat Asar. Bergegas saya ke kolej kediaman. Kunci bilik kami pula tercicir, entah di mana. Yang lain semuanya tertinggal di dalam bilik. Saya hampir menangis. Mujurlah rakan sebilik saya memahami. Mereka akan uruskan perkara ini di Pejabat Kolej dan saya disuruh solat di dalam bilik jiran kami. 

Saya redho

Saya berjalan menuju ke Dewan Utama kampus UiTM Kuala Terengganu. Aturan langkah saya dipercepatkan. Mahu saja saya berlari. Apakan daya, saya memakai baju kurung ketika itu. Sampai saja saya di dewan, forum tidak lagi bermula. Jam sudah 05:20 petang. Alhamdulillah. Forum seolah-olah 'menunggu' saya. Cewah. Rupanya masa itu, ada beberapa kesilapan teknikal. Pihak penganjur terpaksa membetulkan dahulu sebelum memulakan forum pada petang itu. 

Hati saya lega. Wa syukurillah

Wajah ustazah buat pertama kalinya saya lihat depan-depan.

Pertemuan kedua pula diatur-Nya di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu. Waktu itu forum bertajuk 'Tautan Hati'. Masjid yang serba indah itu dipenuhi ratusan pelajar yang terdiri daripada pelajar UiTM, pelajar UNiSZA dan juga masyarakat setempat.

*****

Hari yang saya nantikan sudah tiba. Selesai solat Isya' di kolej, saya dan rakan gerak ke Dewan Professional UiTM Kelantan. Suasana sekitar dewan tenang. Beberapa orang urusetia mengawas di luar. Mungkin menunggu kehadiran Ustazah. Saya berjalan mendekati dewan. Ada seorang muslimat berjalan di hadapan baru sahaja menuruni sebuah kereta yang diparkir berdekatan, memakai jubah hitam berselendang pink lembut. Kami berjalan seiringan. Sampai di perkarangan dewan, ramai yang datang menyambut. Alangkah terkejut saya rupanya itu adalah Ustazah Fatimah Syarha. Tidak sempat saya bersalaman dengan beliau. Forum akan bermula. Saya dan rakan lekas masuk ke dewan mencari-cari tempat yang paling depan supaya kami nampak dan dengar dengan jelas forum itu.

Alhamdulillah. Dapat jumpa bertanya khabar, taaruf sikit dengan Ustazah malam itu.Ustazah sempat lagi bertanya mengenai saya. Terima kasih Ustazah diatas perkongsian ilmu dan tarbiyyah secara langsung dan tidak langsung kepada saya. Saya sayang Ustazah fillah. Sehingga bertemu lagi Ustazahku sayang.

Di sini saya petik kata-kata Ibnu Qayyim yang selalu Ustazah ungkapkan semasa forum, 

"Cinta itu menyucikan akal, menghilangkan kerisauan, membangkitkan keberanian, menyempurnakan penampilan, menambahkan selera makan, menjaga akhlak mulia, menyunting semangat, mengenakan wangian, menjaga ikhtilat serta adab dan keperibadian. Namun cinta juga merupakan ujian bagi orang-orang soleh dan cubaan bagi ahli ibadah."

(Taman orang-orang yang jatuh cinta dan memendam rindu)
Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah 













Jazakallah.

No comments: