Senyumlah selapangnya.
Bismillah, Allah mengizinkan nama
ARNI SHUHADA BINTI SUKRIDIN
menjadi milik diri.
"Perjalananku jua dirimu pasti berakhir menuju Pencipta,
Andai kata syurga itu layak ku jejaki, ingin ku menapak ke sana bersama-sama dirimu saudara islamku semua."

Friday 23 May 2014

Sehingga bertemu lagi Abah...

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

29 Mei 2014

Pagi subuh.
Seperti sesuatu yang tidak kena. Hasbunallahu wani'manal wakil, ni'mal mawla, wani'man nasir.

Masih di kampus.

Hening fajar mula memancar. Bumi disirami simbahan nur. Indah. Tenang.
Pagi itu saya menghantar sahabat-sahabat ke medan ilmu. Mereka akan bertolak ke kem.
Saya mengundur diri mahu pulang. Sejak dari mula daftar kem, saya tidak mahu, entah kenapa. Entah apa yang saya fikirkan. Saya hanya mahu pulang ke rumah.

Hari konvokesyen diploma saya semakin hampir. Saki baki dalam dua hingga tiga hari lagi. Satu persiapan pun saya tidak buat lagi. Saya hanya membayar yuran nya sahaja. Entah. Seperti tidak mahu pergi kata hati kecil saya. Ada juga saya bayangkan gambar potret saya mengenggam sijil kelulusan diploma bersama Abah dan Mama di sisi kanan dan kiri. Kereta saya pandu meluncur laju. Saya tahu abah sekarang di Wad CCU (Unit Jantung) Kota Bharu. Jantung saya berdebar. Saya lenyapkan saja bayangan potret itu. Indah sekali jika begitu. Tetapi saya tahu ianya tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini. Mana mungkin, abah sekarang sedang menahan jerih payahnya menanggung ujian. Saya tahu abah seorang tabah. Penyabar orangnya.

10 minit masa perjalanan.

Senyuman terukir melihat anak saudara menyambut di hadapan pintu rumah. Rindu. Kakak-kakak dan dua orang abang ipar juga ada. Kakak di dapur memasak. Allah. Perasaan apa ini. Ingin saja saya mengajak terus mereka ke HRPZ (Hospital Raja Perempuan Zainab) dengan kadar segera. Saya ingin jumpa abah. Kata kakak usai solat Zohor kami akan bertolak. Saya iyakan sahaja.

Abang ipar saya kelihatan cemas. Katanya Mama call. Suara Mama di hujung talian menangis. Kami bergegas.

Unit CCU sesak dengan orang ramai yang melawat. Hanya dua hingga tiga pelawat sahaja dibenarkan masuk. Itupun dalam jangka masa yang tidak lama, dalam 3-5 minit sahaja. Kami anak-anak dibenarkan ziarah.

Waktu itu saya lihat abah. Wajahnya lesu. Saluran bantuan pernafasan berselirat di dada dan muka. Sayu melihat. Apakan lagi yang merasa, Allah sahaja yang tahu. Kadar meter oksigen lain macam sahaja. Saya tidak tahu maksudnya. Sekejap sekejap berubah. Jatuh naik, seperti lemah. Mama tahu, air matanya mengalir. Zikir tidak henti-henti bergema memenuhi ruang bilik abah. Allah Allah Allah. Abah mengangguk dan kadang-kadang seperti ingin tersenyum tetapi terpaksa berkerut menahan sakit. Azan Zohor berkumandang. Kami bergilir-gilir menjaga abah.

Giliran saya menjaga.

Saya selak helaian al-Quran. Selepas surah Yassin sebagai penawar, saya mahu perdengarkan abah surah al-Fatir.  

"Abah, kaksu baca surah al-Fatir, abah dengar ya."

Diam. Abah hanya melihat saya. Wajahnya bersih.
Saya mulakan bacaan.
Belum lagi habis, abah mencabut alat pernafasan dari muka. Saya memakaikannya balik. Allah. Sebak. Saya memandang ke luar bilik, pintu bilik terbuka sejak dari awal untuk pemantauan para jururawat dan doktor. Saya meraih simpati mereka, jururawat dan doktor hanya memandang, dan berlalu pergi. Mungkin sudah terbiasa dengan keadaan seperti ini.

Saya cuba tenangkan diri. Air mata mengalir melihat raut wajah abah penuh dengan ketenangan. Wajah ini lah yang membesarkan saya selama 21 tahun. Rindu pada senyumannya, suaranya memanggil nama saya...

Saya rebahkan kepala di sisi abah. Tenang. Rasa terlindung. Abah, perwira saya. Tempat strategik untuk saya menyorok di belakang susuk tegap badannya suatu ketika dahulu, waktu-waktu kecil bermain sorok-sorok. Suara garau abah yang bisa menggencangkan bangun tidur saya dan adik-beradik yang lain suatu ketika dahulu. Saya tertidur merebahkan kepala di sisi abah.

Petang itu berlalu. Waktu malamnya kami tidak dibenarkan berada di  situ. Kawalan di dalam wad sungguh ketat. Kami akur. Saya dan kakak-kakak pulang ke rumah. Mama bertegas ingin menjaga abah di  dalam wad. Adik menemani Mama. Berat kaki melangkah pulang pada lewat petang itu. Terpaksa akur.

Satu malam berlalu.

10 Mei 2014

Pagi rutinnya seperti biasa. Adik saya, Aiza tiba dari Kedah pagi ini. Abang dari Melaka juga sudah sampai. Pagi ini kakak sulung meminta saya dan Kak Ngah berada di rumah sahaja. Kami dah sepakat semalam dan bersetuju untuk mohon kepada pihak Hospital supaya abah dibawa pulang ke rumah. Benar, hati kami sayu lihat abah berselirat dengan wayar-wayar dan jarum yang saban hari disuntik. Bengkak tangannya. Saya dan kak Ngah akur. Saya bersihkan rumah sambil-sambil menunggu kepulangan abah. Harapan saya agar abah boleh menjamah makan hari ini, tidak seperti semalam secubit makanan pun tidak diendahkan.

Pagi berlalu.

Tidak  putus-putus panggilan telefon kami dengan Kak Long di Hospital sana. Makluman pada petang itu kata nya doktor, abah menghidapi kuman di paru-paru. Titipan doa kami buat abah. Abah tidak dibenarkan pulang, diberi rawatan anti-biotik oleh doktor pakar di sana. Kak Long pulang ke rumah. Seperti  kelmarin, Mama masih bertegas mahu berada di sisi Abah.

Tepat jam 6:00 petang, Kak Ngah menerima panggilan. Saya ada di depannya. Muka Kak Ngah tenang.

Seluruh badan saya seperti lumpuh. Seperti mahu rebah, saya berlari mendapatkan Kak Long yang ada di ruang bilik belakang. Saya peluk erat, saya harapkan kekuatan. Air mata mengalir deras. Kak Long mengerti. Kelopak matanya sudah merah.

Kira-kira jam 9:45 malam. Ruang rumah sudah dipenuhi saudara mara dan sahabat-sahabat keluarga sejak dari 'berita' petang tadi. Ambulans Jenazah berada di hadapan rumah. Sekujur badan berbalut kain putih diusung keluar dan diletakkan di ruang tamu rumah.

Saya tahan air mata. Pada malam itu, semua anak-anak tidur di sisi abah. Saya berkata dalam hati, "Abah, tengok lah anak-anak abah semua ada. Semuanya berbaring di sisi abah. Mesti abah senyum sekarang kan?" rintih saya dalam hati.

11 Mei 2014

Jam sudah menunjukkan 3 pagi, abah terbaring tenang dikelilingi kami anak-anaknya. Suara saya antara dengar dan tidak membaca al-Quran menahan sebak, terasa dada saya makin sesak. Allah, secepat ini abah pergi. Kak Long di sebelah menepuk bahu menenangkan saya.

Usai sahaja memandi dan mengafankan abah, abah dibaringkan di sudut ruang rumah. Untuk terakhir kalinya wajah abah dibuka. Ramai orang mengelilingi. Itu lah kali terakhir saya melihat wajah abah. Air mata mengalir lagi. Saya seka. Saya terus cium wajah Abah.  Wajah kesayangan saya dunia dan akhirat. Wajahnya ditatap sayu. "Abah, Kak Su redha Abah. Kita jumpa di Syurga-Nya,"rintih saya di dalam hati.

'Ya Allah, ampunkanlah dosa abah, tempatkan lah abah di kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh ya Allah, dan rahmatilah abah sebagaimana abah menjaga diriku semenjak kecil lagi ya Allah. Amin amin ya Rabbal Alamin.'

Sehingga bertemu lagi Abah...

Sayang Abah fillah.

2 comments:

farra said...

al-fatihah. semoga arwah abah arni ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Tabah ye sayang.

Arni Shuhada said...

Insya-Allah sahabat. Terima kasih.