TRAVELOG KEMBARA QURBAN KE SELATAN THAILAND BERSAMA GPTD DAN PPIK 2014
Penulis:
Arni Shuhada binti Sukridin
Pendahuluan
Dengan nama
Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Syukur
buat-Mu duhai Pemilik segalanya. Dengan
izin-Mu sebuah ibrah ini
terlakar. Selawat dan salam ke atas
junjungan Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat baginda.
Pertamanya,
saya ingin mengucapkan terima kasih kepada permaisuri hati iaitu ibunda saya,
Rohani binti Yusoff kerana membenar, mendoa dan merestui perjalanan saya
menjejak kaki ke bumi Thailand. Walaupun
berat hatinya, beliau tetap merelakan. Senandung
kasih buat ayahanda saya di ‘sana’, ayahanda jualah penyemarak obor mujahidah
dalam diri saya. Moga rohmu dipayungi
rahmat-Nya. Juga terima kasih tidak terhingga
kepada abang, kakak dan adik-adik yang menyokong ‘pemergian’ ini dan sahabat-sahabat
dari Universiti Teknologi MARA yang juga memberi sepenuh dorongan.
Alhamdulillah.
Saya
rakamkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Grup Penjejak Tamadun Dunia
(GPTD) Universiti Selangor dan pihak Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
kerana memberi peluang untuk saya menyertai Kembara Qurban ke Selatan Thailand 2014
kali ini. Harapan serta dorongan saya
agar pihak GPTD dan PPIK akan meneruskan lagi program-program bercirikan usaha
murni sebegini pada masa yang akan
datang agar ummah terbela, anak muda
terpelihara.
Di sini saya
sediakan sebuah bingkisan travelog sepanjang kembara kali ini. Travelog ini membumikan sedikit sebanyak
pengalaman, tarbiyah diri dan saat-saat
indah yang terakam di bumi penuh juang, Selatan Thailand. Moga ibrah
yang serba kekurangan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca, tidak banyak
pun tidak mengapa, asalkan ada sesuatu yang diceduk darinya buat teladan
mahupun sempadan diri.
Wallahu’alam.
Hari Pertama
Sabtu, 4
Oktober 2014
Pengembara Qowiy
Alarm di
telefon mudah alih ‘membingitkan’ suasana.
Pagi masih pekat hitam, tidak kelihatan lagi mentari menjengah di ufuk
timur. Saya bingkas bangun menyiapkan
diri. Perasaan teruja kerana hari inilah
buat pertama kalinya saya akan menjejak kaki ke luar negara. Hari ini jualah saya akan bermusafir buat
julung kalinya di bumi Thailand. Jam
baru sahaja menunjukkan 04:15 pagi.
Keadaan pagi yang dingin membuat saya rasa mahu terlena semula, saya
abaikan. Semangat membatasi kehendak
ingin tidur pada waktu itu. Saya lihat
mama saya sudah terjaga awal. Wajahnya
biasa-biasa sahaja. Tidak seperti malam
tadi, riak wajahnya keluh resah pabila memikirkan hari ini saya akan bertolak
pergi ke negara jiran. Saya tahu pasti
mama risau. Saya coretkan sesuatu buat
mama,
Mama,Pergi anakmu ini bukannya mencari keseronokan duniawi,Izinkan anakmu melangkah pergi mencari identiti diri, menimba ilmu di ‘tepian perigi’…demi sebuah redho Ilahi.Ketahuilah mamaku sayang,Sekeping hati ini tidak mampu terpulih gelodak resah andai tidak direstui.Mama ampuni diriku,Ku tahu kamu punya naluri,…berat hati melepasku berangkat sendiri.Namun yakinilah…Allah selalu ada di hati, menjaga setiap gerak-geri.Mama…Ku ingin menjadi pengembara qowiy…yang kental tempuh mehnah dan tribulasi.Doamu mama penguat diri,…agar ku kekal di landasan abadi.Dari anakmu yang ingin ‘pergi’,…demi sebuah maghfirah Ilahi.
Saya
mengatur langkah.
Lebih kurang
jam 05:30 pagi. Saya tiba di Stesen Bas
Kota Bharu. Mujurlah ada adik yang
menghantar. Kami solat subuh
bersama-sama di surau berhampiran. Dalam
perjalanan adik banyak mendiamkan diri, saya tidak dapat baca apa yang bermain
di fikirannya, cuma jelas kelihatan seperti risau.
Kita hanya
mampu merancang,
akan tetapi…
Allah jualah
sebaik-baik perancang.
Sesudah
solat, kami berlalu menuju ke Stesen Bas Kota Bharu. Orang awam mula memenuhi kawasan
sekitar. Ada yang berbeg besar, ada yang ala kadar sahaja. Dan ada juga yang bersahaja. Pelbagai.
Adik bertolak pulang semula ke rumah kami di Pasir Puteh. Berpisah.
Sementara. Atau mungkin
selamanya.
Saya menanti
peserta-peserta dari Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) tiba. Namun seorang pun masih belum kelihatan, kami
berjanji berkumpul di situ, tidak semua setahu saya sebelum itu. Saya cuma mengagak. Tidak kenal rupa apatah lagi jiwa. Handphone
saya dicapai, ingin bertanyakan saudari Irah dan saudara Aqi ada di mana. Mereka berdua sahaja yang saya kenal. Itupun semasa kami sama-sama mendaftar borderpass di RTC, Tunjong.
Irah masih
lagi dalam perjalanan. Aqi juga
sama.
Selepas
mendapat contact salah seorang
peserta bernama Fatin, saya terus call. Katanya sudah sampai. Kami berjumpa. Berkenalan serba sedikit. Umminya
pun ada.
Kami tunggu
tidak lama. Selang beberapa minit sahaja,
Irah tiba bersama dengan seorang lagi peserta iaitu saudara Huzaifah dan
rakannya yang membantu kami ke Pusat Imigresen Sungai Golok. Rakannya menumpangkan kami kereta.
Jalan ke
sana hanya mengambil masa lebih kurang satu jam akibat jalan sesak dengan
kenderaan peniaga, pekerja awam. Saya kira begitulah.
Sampai di
sana, makan pagi, menunggu peserta-peserta dari Unisel seramai 4 orang. Kami dari Kelantan 6 orang. Jumlahnya 10 orang untuk program Kembara Qurban
kali ini. Sementara menunggu, saya
berbual dengan Irah. Fatin tekun membaca
buku yang baru dipinjamnya dari Irah.
Buku yang berkisarkan sejarah di Thailand. Banyak yang kami bicarakan. Mengenai Thailand, diselitkan sedikit dengan
perkongsian pengalaman daripada Irah yang sudah beberapa kali ke sana.
Lebih kurang
satu jam kami menunggu, peserta dari Unisel tiba. Rasa awkward
juga ada. Masakan tidak, kami tidak
mengenali antara satu sama lain, berkumpul demi sebuah pengalaman yang tidak
mampu perolehi di bilik kuliah. Semua
peserta sudah berkumpul.
Saudara Mohd
Azhari, dari Unisel
Saudara Muhd
Redhuan, dari Unisel
Saudara Muhammad
Huzaifah, dari KIAS
Saudara
Mohamad Asri, dari KIAS
Saudara Muhd
Baihaqi, Darul Quran
Saudari Nur
Syahirah, dari KIAS
Saudari Siti
Nursolehah, dari Unisel
Saudari Nur
Shakiya, dari Unisel
Saudari
Fatin Amalina, dari KIAS
dan,
saya Arni
Shuhada dari UiTM.
Langkah Pertama di Thailand, Su-Ngai Kolok. Cop Pas Sempadan dulu. |
Kami
berjalan kaki menuju ke Pejabat Imigresen Su-Ngai Kolok. Lebih kurang 5 minit dari tempat kami
menunggu tadi. Sampai sahaja pejabat, borderpass kami dicop oleh pegawai
imigresen yang bertugas. Semuanya
berjalan lancar. Saya pula tidak
melepaskan peluang bergambar di pintu masuk Pejabat Imigresen Su-Ngai
Kolok. Teruja.
Keadaan
sekeliling dipenuhi manusia datang dan pergi silih berganti, agak keliru
mengecam muka orang Melayu atau orang Thailand.
Hampir sama. Mungkin warna kulit
agak berbeza bagi orang Melayu yang berkulit sawa matang seperti saya. Di sini kebanyakannya ramai yang menggunakan
motor sebagai pengangkutan utama. Ramai
yang menawarkan khidmat pengangkutan motor kepada kami. Saya sudah mula rasa berdebar. Mana mungkin saya akan membonceng, pemandunya
semua terdiri daripada lelaki lingkungan umur 20 hingga 50 tahun saya
kira. Tidak mungkin. Lega sedikit hati bila saya dapat tahu
pengangkutan kami ialah sebuah van.
Rupanya saudara Azhari sudah deal
dengan pihak pengangkutan awal-awal lagi.
Kami akan
dibawa ke Su-Ngai Padi. Sepanjang
perjalanan, saya, Irah, Fatin, Solehah dan Kiya tidak lepas dari memerhati
keadaan di tepi-tepi jalan.
Masing-masing senyap menikmati pemandangan sekitar. Penuh dengan kedai-kedai, label kedai juga
bertulisan Thailand. Tidak faham. Kami berhenti sekejap untuk menukar matawang
Malaysia ke matawang Thailand. Tidak ada
masalah, cuma agak janggal bila pekan yang kami singgah itu diawasi oleh
trak-trak askar. Askar di sana-sini,
senapang besar pula di sisi bahu.
Perjalanan
diteruskan ke destinasi pertama kami, Su-Ngai Padi.
Kira-kira
11:00 pagi waktu Thailand, kami tiba di Rumah Rahmat, Su-Ngai Padi. Rumah ini adalah milik Haji Anawi Abbas dan
isterinya, Hajjah Ummi Kalsom. Haji
Anawi Abbas merupakan seorang wakil Dun Narathiwat. Kami disambut dengan mesra sekali, bersalaman
dengan ahli keluarga Haji Anawi.
Semuanya ramah, tidak lekang dengan senyuman. Hati yang tadi sebenarnya sedikit gentar pada
awalnya, seperti hilang serta merta tatkala melihat kedamaian sebuah ukhuwwah fillah di situ. Kami dijemput berkumpul di ruang tamu rumah,
dihidang minuman dan kuih-muih. Haji
Anawi memberi sedikit kata alu-aluan kepada kami sebagai tetamu. Beliau gelarkan dirinya sebagai Pak Su
Wi. Pak Su Wi adalah kenalan rapat Ustaz
dari Unisel. Saya tidak pasti
namanya. Diceritakan serba-sedikit
kepada kami mengenai suasana di sini.
Rupanya di Thailand sudah menyambut Hari Raya Aidiladha. Katanya Mak Su (isterinya), sudah beberapa
ekor lembu sudah dikorbankan pagi tadi.
Kami sudah terlepas menyaksikan penyembelihan.
Rumah Rahmat, milik Pak Su Wi (Gelaran Beliau). Beliau menjadi Adun Wilayah Naratiwat tetapi hidup sedarhana sahaja. Beliau ada sebut, Jadi Adun di sini tidak kaya seperti di Malaysia. *Penginapan hari pertama di sini, Air Kubu, Naratiwat. |
Bertaaruf serba sedikit.
Kemudian,
kami dibahagi bilik. Aktiviti kendiri,
dan solat jamak qasar waktu Zohor dan Asar berjemaah. Sesudah itu, kami dijamu makan tengah
hari. Nasi putih, daging singgang,
daging goreng, dan ulam timun sebagai makanan utama tengah hari. Sedap ‘berkali-kali’, bukan ‘sekali’. Saya, Irah, Fatin, Solehah dan Kiya tidak
sempat membantu di dapur. Segan pula
rasanya. Langkah sahaja kami di ruangan
dapur, semua ahli keluarga mereka sudah penuh menyiapkan juadah, membahagi
tugas memasak itu ini. Saya pula
mengintai-ngintai resepi bahan-bahan masakan yang digunakan. Hampir sama dengan masakan negeri
Kelantan. Tidak banyak beza, cuma hidangan
daging singgang ditambah serai.
Bahan-bahan lain sama saja.
Katanya Mak Su, jika tambah serai lagilah wangi masakan singgang,
nah! Dapat satu tips! Memang betul katanya, saya sendiri menambah
berkali-kali sup singgang ke dalam pinggan nasi saya. Aduh! Diet entah ke mana. Bukan selalu.
Berkemas.
Anak-anak di Kampung Madrasah Nurul Takwa |
Kami dibawa
Pak Su Wi ke beberapa tempat di sekitar Dun yang dijaganya. Tempat pertama kami tuju adalah Kampung Nurul
Takwa. Di sana, kami melawat sebuah
madrasah yang mempunyai kejadian seorang Imam ditembak ketika menunaikan solat
di dalamnya. Kami khusyuk mendengar
cerita orang kampung sana mengenai kejadian tersebut. Kesan-kesan tembakan masih jelas lagi
kelihatan di dinding dan lantai madrasah.
Saya berjalan melihat keadaan
sekeliling madrasah. Berdekatannya
terdapat sebuah tadika usang milik kampung tersebut. Sungguh dhoif. Bangunannya sahaja diperbuat dari kayu,
juga fasilitinya jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Tadika di
Malaysia. Saya bukan merendahkan, cuma
ingin melahirkan rasa emphaty
terhadap keadaan ekonomi yang menimpa kawasan Selatan Thailand. Beberapa orang anak kecil datang
mendekati. Barangkali pelik melihat
gelagat kami yang berlegar-legar di madrasah dan tadika mereka. Irah mendekati mereka. Seronok melihat Irah, Kiya dan Fatin melayan
adik-adik kecil itu, memuji mereka menggunakan bahasa Thailand, tertawa
adik-adik.
Saya
mendengar perbualan Fatin dengan seorang anak kecil,
Fatin : Esok
raya. Mesti pakai baju baru ni?
Adik : Pakai
yang mana ada saja.
Adik kecil
itu tersenyum. Tiada riak suram di
wajahnya. Saya dan Fatin
berpandangan. Masing-masing melemparkan
senyuman tawar. Jauhnya beza taraf hidup
kita dik. Saya juga bukannya orang
senang, tetapi sepanjang hidup saya, punya baju baru setiap kali hari raya itu
seperti sesuatu benda yang sudah menjadi kebiasaan. Mama, allayarham abah, tidak lupa membeli
baju raya untuk anak-anak setiap kali hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Insan yang bergelar Mama inilah yang selalu
bertungkus-lumus menyiapkan baju hari raya kami adik-beradik waktu saya seusia
mereka. Fikiran saya jauh menerewang nun
di sana. Mengingatkan hari esoknya Hari
Raya Aidiladha akan disambut di Malaysia, dan saya pula di sini. Pertama kalinya saya tidak beraya bersama
keluarga. Tipulah, jika saya katakan
saya tidak keberatan. Namun pengalaman sebegini
juga bukannya selalu datang. Saya perlu jadikan
ianya sebuah ibrah yang bermanfaat
untuk mentarbiyah jiwa muda ini.
Setelah
menyelami serba sedikit sejarah dan tragedi juga beramah mesra bersama
orang-orang kampung di situ, kami berangkat ke sebuah perkampungan lain
pula.
Tok Bei dan
Mer Bouk. Penuh syukur kami diterima
baik masyarakat setempat. Kami tetamu
dilayan sebegitu baik. Alhamdulillah. Tambah lagi bila mereka tahu kami dari
Malaysia. Ada juga sesetengah dari orang
kampung di sana berhijrah ke Malaysia untuk bekerja. Kata mereka, Malaysia sungguh aman dan damai. Tiada sengketa. Cuma kata mereka jikalau adapun, kerajaan
cepat-cepat mencari solusi. Itu apa yang
mereka kata. Dalam hati, saya bermunajat
syukur kepada-Nya. Semoga bumi mana jua
kita pijak, biarlah jua keamanan yang disepakati, bukannya perbalahan yang
dihadapi.
Kami
bergerak pulang semula ke Rumah Rahmat, Su-Ngai Padi. Masing-masing dengan ekspresi muka yang
mungkin memikir sebuah persoalan yang tidak terungkai, atau mungkin juga sedang
muhasabah diri. Mungkin.
Masa itu
sudah hampir Maghrib. Waktu di Thailand,
maghribnya pada jam 06:30 petang. Semua
bersiap, membersih diri dan solat berjemaah.
Makan malam kami juga telah siap terhidang. Malam itu ada postmoterm. Waktu inilah kami lebih mengenali antara satu
sama lain. Semuanya mempunyai
keistimewaan dan latar belakang yang berbeza.
Syukur mengenali rakan-rakan yang berjiwa besar seperti kalian! Teruskan, jangan berhenti, rehat kita bukan
di dunia! Persamaan disyukuri, perbezaan
dirai. Kami juga membincangkan tentatif
sepanjang di sana. Tentatif lebih kepada
fleksibiliti mengikut kesesuaian masa
dan keadaan. Ketika inilah kami
diberi arahan untuk menyiapkan sebuah travelog dan puisi sepanjang program
Kembara Qurban di sini. Postmoterm ditangguhkan lebih kurang pada jam 12:30 pagi
waktu Thailand, pada jam 11:30 malam waktu Malaysia.
Surah
Al-Mulk.
Selamat
malam.
Hari Kedua
5 Oktober
2014.
Hari Raya Qurban di
Thailand
Menelusuri jejak para ‘Syuhada’,
Taba
Pagi.
Jemaah
subuh.
Al-Mathurat.
Bersiap. Hari ini kami semua akan meninggalkan Rumah
Rahmat. Akan bertolak ke Rumah Anak Yatim AYATA, Tabal. Sungguh berat untuk berpisah kerana fikir
betapa baik budi dan besar jasa keluarga Haji Anawi kepada kami semua. Allah jualah sebaik-baik kita sandarkan
kebergantungan qada’ dan qadar pada sebuah pertemuan dan perpisahan.
Kami
bertolak dengan menaiki sebuah kenderaan yang saya juga kurang pasti masyarakat
di sini memanggilnya apa. Tapi ianya
hampir serupa dengan kenderaan yang dipanggil ‘Angkut’ oleh orang-orang di
negara Indonesia sana. Pengalaman
pertama. Best! Sebelum ke Tabal, kami
akan singgah di beberapa tempat. Destinasi pertama adalah ke Kawat. Kawat adalah kampung halaman salah seorang
peserta Kembara Qurban, iaitu Azhari.
Kami akan solat sunat Hari Raya di sana.
“Allaahuakbar…Allaahuakbar…Allaahuakbar…Laa–ilaaha–illallaahuwallaahuakbar…Allaahuakbar
walillaahil–hamd…”
Takbir
syahdu itu bergema. Masyarakat kampung
penuh mengerumuni Masjid. Kami bergerak
memasuki ruang Masjid, disambut senyuman oleh orang-orang di situ.
“Allah maha besar lagi maha sempurna
kebesarannya, Segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, Dan maha suci Allah
sepanjang pagi dan petang. Tiada Tuhan
selain Allah dan tidak ada yang kami sembah kecuali hanya Allah, dengan ikhlas
kami beragama kepadanya, walaupun orang-orang kafir membenci. Tidak ada Tuhan selain Allah sendiri; Benar
janjinya, menolong hambanya, memulihkan tenteranya, dan mengusir musuh-musuh
(Nabi)nya sendirian. Tiada Tuhan selain Allah, Allah maha besar. Allah maha besar
dan segala puji bagi Allah.”
Luas
hamparan langit seakan saksi akan sebuah pengorbanan, seluruh umat Islam
bertahmid memuji dan munajat kesyukuran.
Memperingati sebuah pengorbanan dan kesabaran Nabi Ibrahim a.s dan
anaknya Nabi Ismail a.s dalam menunaikan
dan memenuhi perintah Allah.
Selesai
solat sunat Hari Raya di masjid, kami dijemput oleh keluarga saudara Azhari
untuk menjamu makan di rumahnya.
Takbir
bergema.
Alam
seakan berbicara syukur,
Ruang
udara bagai terisi molekul segala kegembiraan.
Tenang,
Bila
punya hati ini,
Ingin
ku genggam.
Penuh
kesyukuran,
Kemanisannya
bila takbir dilaungkan,
Roh
jihad mula bertebaran.
Aku
dakap ukhuwah ini dari kejauhan,
Biarlah
ketentuan ini satu pengukuran,
Demi
jannah Ilahi, ku pasti genggam dengan penuh kekuatan.
Kerana
ku tahu pengembara qowiy itu penuh pengorbanan.
Kami
teruskan perjalanan. Kali ini panjang
betul saya rasa masa perjalanan. Sampaikan
saya terlena sekejap. Sepanjang
perjalanan, ada banyak perkongsian dari rakan-rakan. Saya mula kagum dengan seorang penulis yang
merupakan peserta program ini juga iaitu saudara Asri. Kagum dengan pengetahuan yang beliau miliki
pada seusia lebih kurang kami.
Sensitiviti beliau terhadap isu-isu dan idealisme terkini, seperti sudah sebati dengan
hidupnya. Saya pasti akan membaca
tulisan-tulisan beliau apabila balik ke Malaysia nanti (asriyussof.wordpress.com). Saya lebih suka membaca tulisan-tulisan yang
pelbagai untuk menambah pengetahuan juga mempelajari teknik-teknik dan gaya
bahasa yang digunakan.
Dari kiri, saudari Shahirah, Kiya, Fatin dan saya, Shuhada |
Kami sudah
tiba di Masjid Wadi Husein, Teluk Manuk.
Perancangan awalnya untuk singgah ke pantai terlebih dahulu, tetapi atas
kesepakatan bersama, kami batalkan sahaja keinginan itu. Masa tidak mengizinkan. Kami perlu pantas dan efisien! Teluk Manuk terletak di Narathiwat Selatan
Thailand. Masjid yang kami kunjungi ini
punyai sejarahnya yang tersendiri.
Masjid yang diperbuat daripada kayu ini adalah masjid yang menjadi saksi
sumbangan ulama’ besar Pattani sejak beberapa abad yang lalu. Nama masjid ini adalah bersempena dengan nama
seorang ulama’ yang terkenal pada 380 tahun yang lalu iaitu Wadi Husein al
Fathani. Beliau adalah ulama’ yang
menghafaz 30 juzuk al-Quran juga beribu-ribu hadis Nabi s.a.w. Dikisahkan bahawa semua pelajar yang menuntut
dengannya digelar dengan panggilan ‘Al Fathani’ pada setiap penghujung nama. Apa yang uniknya mengenai masjid ini adalah
ianya dibina tanpa diikat oleh paku, sebaliknya hanya menggunakan pasak. Sungguh damai suasana di kawasan masjid ini
yang mana terdapat sebuah bukit yang merupakan arah kiblat, indah, indah sekali.
Di sisi
kawasan Masjid terdapat perkuburan lama, seusia dengan umur masjid. Penuh batu-batu nisan bertebaran pada
hamparan rumput menghijau luas di kaki bukit.
Di hujungnya, terletak sebuah makam para Syuhada yang mana pada tahun 24 Oktober 2004 yang lalu, terjadinya
tragedi pembunuhan di Tak Bai, 85 orang terbunuh akibat sesak nafas kerana
ditindan beramai-ramai di sebuah trak.
Jenazah tragedi disemadikan di kaki bukit Teluk Manuk.
Tanah Perkuburan Syuhada dalam Tragedi Takba pada 2014. *Manusia diikat tangan di belakang, dibaringkan di atas jalan tar dan diletakkan beramai-ramai di dalam satu trak dan dibawa ke penjara yang jaraknya hanya 3km tetapi askar membawa melalui jalan jauh yang jaraknya 8km lebih. Ramai yang mati lemas dalam timbunan manusia (lelaki). ...Al-Fatihah... |
Saya dan
rakan-rakan yang lain tidak melepaskan peluang menziarahi makam para syuhada yang tidak terletak jauh dari
masjid. Kami sedekahkan Al-Fatihah. Sayu tatkala saya mendekati makam
tersebut. Ianya seolah mendengar alam
berbicara sunyi menyatakan bahawa sebenarnya mereka yang ‘pergi’ ini tetap
‘hidup’. Alam seperti berbicara lagi,
biarlah jasad mereka bersemadi di sini, kami menjaganya baik, kerana
sesungguhnya mereka akan dibangkitkan kembali, dan akan menjadi saksi
ketidakadilan sebuah pemerintahan.
Firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran ayat 169,
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka
orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati,
(mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka
dengan mendapat rezeki” (Ali
Imran:169)
Angin
bertiup nyaman. Pokok buah langsat di
sekitar makam para syuhada bergugus-gugus
lebatnya, warna kuningnya terang menandakan sudah ranum untuk dipetik. Namun seperti tiada yang terusik. Menakjubkan suasana di sekitar itu. Subhanallah.
Kami berlalu, melalui sebatang sungai yang mengalir di tepi
Masjid. Ada anak-anak kecil mandi-manda di
situ.
Masjid Wadi Hussain, Teluk Manuk. pemandangan dari Jauh melalui sungai, batu-batuan, pepohon dan cuaca yang reduh-reduh panas. |
Perjalanan diteruskan lagi ke
destinasi utama kami iaitu ke Takbai.
Perjalanan agak jauh juga. Saya
terlena sehinggalah sampai ke perkarangan Asrama AYATA, sebuah badan kebajikan
anak yatim yang terletak di Takbai, Narathiwat.
Rumah Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (AYATA) |
Info Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal
(AYATA)
Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal
(AYATA) ini ditubuhkan dan beroperasi pada 29 April 2003. Mempunyai seramai 66 orang anak yatim. 35 orang lelaki dan 31 orang perempuan dan juga
fakir miskin yang dibantu serta dididik oleh badan ini. Kampung Tabal, Takbai, Narathiwat, Selatan
Thailand bersempadan dengan Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan, Malaysia.
Objektif penubuhan badan kebajikan ini
adalah untuk membantu dan menolong anak-anak yatim yang hilang tempat
bergantung (ibu bapa). Selain itu, ianya
juga bertujuan mentarbiyah generasi
supaya menjadi insan yang soleh dan solehah serta beraklak mulia di masa
hadapan. Tambahan lagi, badan kebajikan
ini juga adalah untuk melaksanakan dan menyempurnakan pendidikan agama dan
akademiknya ke peringkat pengajian tinggi.
“Apakah
kamu mengetahui orang yang mendustakan agama?
Itulah orang yang mengherdik anak yatim.
Dan tidak memberi makan kepada orang miskin. Maka celakalah orang-orang yang solat. Iaitu orang yang lalai dari solatnya. Orang-orang yang riak (tidak ikhlas
ibadahnya) dan enggan memberi bantuan yang berguna”
Kalau bukan kita yang membantu, siapa
lagi yang akan membantu mereka?
Renung-renumgkan dan selamat beramal.
Antara program-program yang telah,
sedang dan akan dijalankan oleh badan ini adalah seperti Pengajian dan Tahfiz
al Quran. Selain itu terdapat juga
pengajian tambahan bahasa Melayu, Arab dan Inggeris. AYATA juga mengadakan program qiamullail, tarbiyah, serta aktiviti
luar seperti lawatan sambil belajar.
Bantuan yang diperlukan oleh AYATA
adalah makanan asas seperti beras, gula, minyak, ubat gigi, sabun, dan barang
keperluan harian untuk penghuni asrama.
Juga orang ramai juga boleh menyumbang dalam bentuk kewangan untuk
membeli lauk-pauk dan perbelanjaan persekolahan anak-anak asrama AYATA. Juga bantuan yang berupa fasiliti seperti
computer untuk kegunaan pejabat dan pembelajaraan anak-anak yatim.
Sebarang pertanyaan berkaitan,
bolehlah berhubung dengan Cikgu Nawawi Yunus, 017-9186467.
Bergambar dengan anak kepada penderma di AYATA.
Dari kiri, saudari Solehah, Shahirah, Fatin dan saya.
|
******
Kami mengangkat beg. Di sinilah kami semua akan bermalam. Kami kumpulan muslimat akan bermalam di hotel berdekatan. Kumpulan muslimin
akan bermalam di asrama lelaki AYATA .
Hujan membasahi bumi Takbai. Kami
solat berjemaah. Balik hotel, kemudian
rehat.
Seusai solat berjemaah pada malamnya kami
adakan sesi taaruf dan pengenalan AYATA bersama ustaz Nawawi
dan juga beberapa aktivis dakwah Pattani lebih kurang sebaya dengan kami di
AYATA.
2 dari kanan, Cikgu Nawawi, Pengerusi AYATA. |
Ta'aruf bersama Anak-anak Muda yang membantu menggerakkan AYATA |
Ta'aruf. *4 dari Kanan adalah Anak Muda yang membantu Menggerakkan AYATA |
Bersurai.
Kami kumpulan muslimat dihantar ke Hotel oleh Ustaz Nawawi. Keadaan hotel agak sunyi. Suasana sekeliling pula agak lengang. Menyeramkan bagi saya. Rupanya ada kisah ngeri berkaitan pembunuhan barangkali, di hotel tersebut. Wallahu'alam.
Al-Mulk.
Selamat Malam.
Hari Ketiga
Isnin, 6
Oktober 2014.
Pulang ke Malaysia
Pagi.
Jemaah
subuh.
Al-Mathurat.
Kami
bersiap. Kesian pula saya tengok saudari
Solehah. Selsemanya dari malam tadi
masih tidak baik-baik lagi. Qowiy ya sahabat! Pagi ini kami sarapan
di AYATA. Kumpulan muslimin akan dibawa Ustaz Nawawi dan sahabat-sahabat dari sana ke
Sungai Tabal. Menaiki bot. Wah!
Seronok. Kami muslimat pula bershopping, mungkin lebih kepada window
shopping. Tidak banyak kedai yang
buka. Tidak mengapa. Yang penting dapat berukhuwwah dengan sahabat baru iaitu anak perempuan Ustaz Nawawi yang
sekarang bercuti. Beliau adalah pelajar
di Universiti tempatan.
Sempadan Takbai, Thailand - Pengkalan Kubor. |
Selesai
sahaja solat zohor berjemaah, kami berangkat ke Jeti Takbai. Menaiki bot di sana.
Lop khorn
Thailand! Selamat tinggal bumi
Thailand!
Bumi penuh
juang, bumi penuh cinta, suka, dan duka.
“Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik
dan beradab itu dianggap sebagai rehat.
Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah.
Berkelanalah, engkau akan dapat pengganti
orang yang kamu tinggalkan.
Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada
pada berpenat-penatan.
Aku melihat air yang tenang bertakung,
mencemar kandungannya sendiri.
Sekiranya ianya mengalir, ia akan baik,
sekiranya ia tidak mengalir, tercemar.”
Petikan Syair
Imam Syafie.
-TAMAT-
*Terima kasih kepada saudara Asri untuk gambar-gambar dan deskripsi.
*Travelog di atas adalah dicatat saya, Arni Shuhada sendiri, sepanjang kembara di Thailand dan dikemaskini di Malaysia.
No comments:
Post a Comment